PEMBAZIRAN DI BULAN RAMADAN
- CikTa
- Jun 19, 2016
- 2 min read

Ramadan yang mulia dan seperti biasa umat Islam menunaikan ibadat puasa serta menghidupkan malam harinya dengan melakukan ibadat terawih dan bertadarus di masjid-masjid dan surau seluruh negara. Pada hakikatnya, kita perlu bersedia untuk menyambut kedatangan bulan ini dengan harapan agar ia akan menjadikan kita sebagai manusia yang lebih baik di sisi Allah Subhanahu Wata'ala.
Bulan Ramadan tidak sama dengan bulan yang lain. Ianya merupakan bulan rahmat, bulan penuh keampunan dan bulan pembebasan dari api Neraka.
Ramadan juga mempunyai banyak rahsia tersirat yang perlu dicungkil oleh umat Islam. Di mana melalui bulan penuh keberkatan dan kerahmatan ini, kita perlu insaf bahawa pelbagai tujuan telah Allah syariatkan puasa kepada umat Islam dan banyak pengajaran dan iktibar terkandung di dalamnya yang boleh kita gunakan sebagai pedoman melalui cabaran kehidupan kita seharian dengan lebih sempurna.

Antara pengajaran yang tersirat dalam bulan yang mulia itu ialah ingatan supaya kita tidak melakukan pembaziran dan boros dalam kehidupan. Terutamanya waktu berbuka puasa yang memang ditunggu-tunggu bagi umat Islam yang mengerjakan ibadat puasa iaitu setelah hampir sehari suntuk menahan diri dari makan dan minum dan daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan ibadat puasa.
Biasanya apabila berbuka di rumah, juadah yang dihidang dimasak sendiri atau dibeli dari kedai. Namun terdapat trend orang-orang kita ketika ini gemar berbuka di luar umpamanya di kedai-kedai makan atau restoran-restoran mewah.
Trend ini dilihat semakin meluas apalagi dengan adanya promosi-promosi (berbuka puasa) dengan harga yang dikatakan berpatutan diiklankan dan diuar-uarkan oleh para peniaga restoran dan hotel-hotel.
Berbuka puasa ala bufet yang kini popular dalam kalangan umat Islam di negara ini, telah menunjukkan kehidupan umat Islam di negara ini kini semakin dilimpahi dengan kemewahan.
Dengan adanya promosi-promosi bufet di bulan Ramadan membuka peluang kepada para peniaga restoran untuk meraih keuntungan. Ini juga memberi ruang waktu bagi umat Islam untuk beribadah di siang dan malam hari tanpa perlu bersusah payah menyediakan menu berbuka puasa.
Walau bagaimanapun kita amat dilarang dari amalan membazir, kerana orang yang membazir itu disamakan dengan saudara syaitan.
Firman Allah Subhanahu Wata'ala yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.” (Surah Al Israa', ayat 27).
Gambaran yang diberikan Allah terhadap orang yang melakukan pembaziran dalam ayat berkenaan amat keras kerana syaitan itu adalah makhluk yang paling ingkar terhadap perintah Allah.
Ayat Al-Qur'an di atas juga menyatakan bahawa pemborosan dan pembaziran adalah perbuatan keji dan patut ditinggalkan oleh orang yang mengaku diri mereka benar-benar beriman dengan Islam.
Dari itu, umat Islam di negara kita, wajar mengelakkan pembaziran dan kegelojohan di bulan Ramadan atau bulan-bulan yang lain serta turut menginsafi akan nasib umat Islam di negara lain yang tidak bernasib baik dalam memenuhi keperluan harian mereka.
“SELAMAT MENGERJAKAN IBADAH PUASA DI BULAN RAMADAN.”
Tulisan asal : Pelita Brunei
Comments