15 AKTIVITI CUTI SEKOLAH YANG MENARIK BERSAMA KELUARGA
- Cik Ta
- May 26, 2016
- 3 min read
Dengan bermulanya cuti sekolah tidak lama lagi, masanya amat sesuai untuk merancang aktiviti seronok dengan keluarga. Aktiviti luar pastinya satu cara yang hebat dan menyeronokkan untuk menghabiskan masa. Jadi mengapa duduk terperap di rumah sahaja sedangkan cuaca begitu baik di luar?

Berikut adalah beberapa idea untuk merangsang ahli keluarga agar keluar menghabiskan masa di luar rumah:
1. Keluarkan raket
Sukan raket seperti tenis memerlukan pemain berlari, melompat dan berfikir secara taktikal. Ini melatih bukan sahaja anggota badan tetapi juga otak! Tambahan pula hanya 12 minit bermain tenis diperlukan untuk membakar 105 kalori!
2. Berkunjung ke pantai
Cahaya matahari membekalkan banyak Vitamin D. Ketika cuaca baik, eloklah keluar rumah. Berkunjung ke pantai sememangnya pilihan yang tepat. Air yang jernih, pasir halus memutih, kenangan manis bersama keluarga dan pemandangan indah.
Perlu apa lagi?
3. Main bola
Tidak semestinya perlu mengembara jauh dari rumah. Bahagikan ahli keluarga kepada pasukan dan adakan perlawanan bolasepak di taman berdekatan. Anda dapat udara segar, senaman, peluang mengeratkan ikatan kekeluargaan dan keseronokan berpanjangan.
4. Lawatlah zoo
Tahukah anda bahawa mendekati haiwan meningkatkan rasa empati terhadap insan dan makhluk lain? Berkunjunglah ke zoo membelai haiwan atau beri makan kepada itik. Rasa ingin tahu anak-anak pasti meningkat apabila melihat haiwan liar eksotik di habitat semulajadinya.
5. Bercucuk tanam
Mahukah anda agar anak-anak makan sayur-sayuran? Galakkan mereka bercucuk tanam. Menanam sayur aktiviti yang menyeronokkan dan bersifat pembelajaran. Bukan itu sahaja, anak-anak juga akan lebih berminat memakan sayur-sayuran yang mereka tanam sendiri.
6. Naik rakit
Inginkan pengalaman membina pasukan yang paling menyeronokkan? Cubalah aktiviti rakit redah jeram bagi meningkatkan keyakinan diri dan rasa hormat daripada orang lain. Tetapi ingat – pegang kuat!
7. Pergi berkhemah
Berkhemah adalah cara yang terbaik mendekati alam semulajadi dan melupakan bandaraya yang penuh pencakar langit konkrit. Ajaklah keluarga berkhemah. Tidak hairanlah kajian menunjukkan mereka yang berkhemah kebanyakannya individu yang lebih gembira.
8. Kaji bintang
Kali ini, bukan matahari yang anda cari, tetapi bulan dan bintang. Anak-anak yang cenderung kepada astronomi pastinya akan seronok keluar berjalan di waktu malam melihat bintang. Tiada yang lebih baik daripada menghabiskan masa melihat bulan dan berbual-bual dengan mereka yang tersayang. Tambahan pula, udara malam yang nyaman akan memastikan anak-anak tidur lebih nyenyak.
Jika anda tidak bercadang untuk melancong ke mana-mana pada musim cuti ini tetapi ingin meluangkan masa mencipta saat-saat manis bersama keluarga di dalam rumah, apa kata kita menghabiskan masa di rumah? Ia juga boleh menjadi sesuatu yang menyeronokkan.
Berikut adalah beberapa idea yang boleh dilaksanakan bersama keluarga di dalam rumah:
1. Main mainan berpapan
Permainan kad atau mainan berpapan merupakan aktiviti rekreasi keluarga turun-temurun yang mampu menyatukan keluarga. Pilih beberapa permainan yang digemari ahli keluarga dan main secara bergilir-gilir. Hari anda pasti ceria!
2. Aktiviti kitar semula menyeronokkan
Tanamkan tabiat kitar semula dalam keluarga. Ajar anak-anak mengitar semula sejak kecil lagi. Gunakan akhbar lama untuk membuat papier mache! Kitar semula merupakan aktiviti penuh bermakna yang menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.
3. Bermain ping pong
Permainan video dengan dua pemain amat sesuai untuk keluarga. Cubalah permainan ping pong menggunakan Wii. Ia memberi senaman dan mencetuskan hilai tawa di ruang tamu rumah anda.
4. Menyanyi hiburkan hati
Apa kata berkaraoke di rumah? Tak perlu sehebat profesional! Sekadar untuk seronok sahaja. Di samping menghilangkan stres, anda juga dapat mengenali citarasa muzik ahli keluarga. Jerit SEKUAT HATI jika mahu, tetapi cuba jangan ganggu jiran-jiran.
5. Pilih filem
Menonton filem juga satu pilihan tepat untuk keluarga. Pilih beberapa filem yang sesuai untuk tontonan keluarga, keluarkan bertih jagung dan mulakan maraton filem anda!
6. Bina khemah selimut
Adakan sesi bercerita unggun api di dalam rumah. Tiada api, gunakan lampu! Elakkan cerita-cerita hantu jika tidak mahu menakutkan anak-anak. Sesi bercerita seperti ini boleh membantu anda mengenali anak-anak dengan lebih rapat dan mengetahui apa yang berlaku dalam kehidupan mereka.
7. Galakkan artis kecil anda
Jika ada dinding yang perlu dicat semula, ajak anak-anak mencontengnya dahulu sebelum anda mula bekerja. Biarkan anak-anak berseronok seketika dan galakkan kreativiti mereka. Mana tahu ada bakal Picasso dalam keluarga anda. Sekurang-kurangnya mereka memperolehi peluang melukis pada dinding.
Membaca tips ini memberikan anda idea bagaimana untuk menghabiskan masa berkualiti dengan keluarga anda. Tetapi jangan sekadar membaca dan tidak berbuat apa-apa. Buat sesuatu!
Oleh _ Aida Sue
http://www.wanista.com/tips-cuti-sekolah-15-cadangan-aktiviti-menarik-bersama-keluarga-dalam-luar-rumah/
Tips ini dibawakan kepada anda oleh Wanista dan Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Berhad (Great Eastern Life).
Comments